22 November 2009

DI MANA 'KAN KU CARI GANTI

Hadirmu memugar bakat menjunjung pedoman,
berkandil gemerlap bak nian sebatang
mengerdip sedari mula hingga ke hujung usia
menyerlah dari barat ke timur
mekar dari selatan ke utara
sinar haruman yang tak mungkin luntur
dek keikhlasan pengorbanan
menatang keluarga, kerjaya, musuh dan lawan
malah sesiapa pun yang ditemui di jalanan.

Kamus dirimu "Sanggup segala"
meski kadangkala menyengat sukma
peta kehidupanmu lakaran kreatif, optimis dan ceria
meski kadangkala tersentak dek gejolak nestapa.

Zul tetap Zul yang berperibadi luhur
jurugambar, wartawan, pendidik, penulis dan motivator
pengkaji, usahawan, penerbit, dermawan dan kaunselor
di dewan kuliah, di pentas sastera dan siasah
mahir teknologi, yakin dan bernas berhujah
penuh imaginasi, futuristik, berswadaya raksasa
'kembali ke akar umbi' taruhan utama.

Pada pesisir tabir sakti ini
kami lunakkan rawan yang bertandang
memahat doa sejahtera segunung intan
kerana titipan memutiarakan ilmu.

Kini,
telah kaualirkan fikir dan mahir ke atma yang kerinduan
mercup wangian akrab merentasi generasi
dan mawar bakti berterusan berlangir seri
meski sebenarnya, kami kehilangan,
di mana 'kan ku cari ganti...

Sajak ini adalah hasil Nukilan, Pn Hjh Mahaya Hj Mohd Yassin.
Sajak ini telah aku deklamasikan secara berduet pada Majlis Perhimpunan Budaya IPG Kampus Raja Melewar Sempena Majlis Persaraan Tn Hj Zulkpli Abu, Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan.
Inilah pertama kali, aku mendeklamasikan sajak di hadapan penulis sajak itu sendiri, walaupun pendeklamasian sajak itu merupakan satu kebiasaan pada diriku, namun perasaan gementar dan gugup itu tetap ada, di tambah pula berlinangan air mata aku ketika persembahan multimedia yang diakhiri dengan nyanyian oleh Pak Wan, sungguh sayu hatiku ketika itu, hampir ku menitiskan air mata di bait-bait terakhir sajak ini, dapat ku tahan, tapi di akhirnya, aku sekali lagi menitiskan airmata, inilah Perhimpunan Budaya yang telah menarik air mata aku untuk jatuh, aku sendiri tidak tahu mengapa...,

Di Kesempatan ini juga aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Khairudin, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu yang telah menyelitkan berita aku dan rakanku di Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) Negeri Sembilan.

Terima Kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang menyokong dan memberi dorongan kepadaku untuk meneruskan lagi usaha aku berkaitan dengan bidang kesusasteraan ini.

No comments:

Post a Comment